BUTTERWORTH: PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) memperkenalkan sistem Nota Penghantaran Digital (DN) yang akan dilaksanakan secara berperingkat di 17 terminal bahan api milik syarikat itu di seluruh negara, mulai tahun ini.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Ibrahimnuddin Mohd Yunus, berkata sistem itu diperkenalkan dalam usaha mengubah penggunaan kaedah manual kepada digital, sekali gus mengurangkan kos operasi syarikat.

Katanya, inovasi terbaru yang dilaksanakan itu penting bagi memastikan syarikat kekal berdaya saing dalam persekitaran pasaran yang mencabar akibat harga minyak dunia yang tidak menentu.

“PDB menjalankan beberapa inisiatif bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos dengan bertukar kepada sistem digital.

“Inisiatif ini selari dengan usaha kumpulan PETRONAS menggalakkan budaya penjanaan pendapatan dan penjimatan kos menerusi jalinan kerjasama dengan pelanggan dan pihak berkaitan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sistem DN berkenaan di Terminal Bahan Api dan Loji Pengisian LPG Prai di sini, hari ini.

Ibrahimnuddin berkata, sistem DN mampu meningkatkan kecekapan operasi yang mana proses pengeluaran bahan, pembayaran balik dan pengurusan dapat dilakukan secara atas talian saja melalui pangkalan data yang boleh dicapai di mana juga pada bila bila masa oleh pengguna.

-BeritaHarian