MALIM NAWAR- Amalan makan ulam daun mengkudu sejak dari muda menjadi salah satu sebab mengapa Dollah Endut berupaya menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 tahun hari ini (Sabtu).

Dollah dari Kampung Pulau Pisang, Malim Nawar dilahirkan pada tahun 1916 mempunyai 11 orang anak menerusi perkongsian hidup dengan dua orang isteri.

Kini legasi Dollah Endut sudah memasuki lima lapisan generasi dengan 41 cucu, 45 cicit dan 4 piut.
Menurut Dollah, tidak ada petua khusus dalam menjaga kesihatan namun pengambilan daun mengkudu sejak bertahun lamanya mungkin menjadi faktor kepada pencegahan penyakit dalaman.

“Sejak muda, tok memang suka makan daun dan pucuk mengkudu, lebih sedap dibuat kerabu, memang banyak pokok mengkudu ditanam di sekitar rumah ini.

“Selain itu, tok juga banyakkan minum air putih dan kurangkan gula. Tidak lupa juga dengan amalan baca Yasin setiap malam,” katanya ketika ditemui di Sambutan Hari Lahir ke-100 tahun Dollah Endut dan Hari Keluarga di Kampung Pisang di sini.

Tahap ingatannya juga masih kuat jika hendak dibandingkan dengan usianya yang sudah lanjut, malah dia boleh mengimbas kembali kenangan sewaktu pemerintahan Jepun di Tanah Melayu.

“Ada suatu hari, tok dipanggil oleh tentera Jepun lepas solat Jumaat untuk ke Tualang Sekah, rupanya kena buat landasan keretapi. Tok pun kerja dan dibayar gaji berupa beras satu tong kecil dan duit RM1,” ceritanya.

Salah seorang cucu Dollah, Norhazira Osman, 35 berkata, datuknya itu begitu menitikberatkan pengambilan sayur-sayuran dan ulam-ulaman dalam pemakanan seharian.

“Selain sentiasa menunaikan solat sunat dan menghafal surah Al-Mulk, beliau tidak makan makanan segera dan kalau ikan pun selalu dibakar, bukannya digoreng,” kata Norhazira.