JOHOR BAHRU: Pesanan penduduk kampung jika terlanggar gajah menyelamatkan nyawa seorang pemandu traktor, Mohd Khairol Abdul Karim.

“Pesanan penduduk kampung supaya tinggalkan kereta jika berlaku kemalangan dengan gajah menyelamatkan nyawa saya.

“Jika tidak sudah pasti saya juga dipijak gajah yang naik minyak memijak kereta saya seperti melepaskan geram apabila saya melanggarnya,” kata Mohd Khairol, 33.

Mohd Khairol berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan Toyota Avanza dipandunya dipijak gajah selepas dia terlanggar kaki kiri seekor haiwan berkenaan, di Batu 8, Jalan Mawai, Kota Tinggi, malam tadi.

Beliau dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Padang, Tanjung Sedili selepas melawat anak keempat yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, sejak empat hari lalu.

“Apabila tiba di lokasi dan menuruni bukit, tiba-tiba saya nampak paha gajah namun tidak sempat berbuat apa-apa. Saya memperlahankan kenderaan, namun terlanggar kaki kiri belakang haiwan itu, ketika itu kaca bertaburan dan apabila kakinya diangkat kereta terus menggelongsor ke bawah.

“Saya memberhentikan kenderaan di kiri jalan dan teringat pesanan penduduk kampung supaya melarikan diri, apabila keadaan selamat saya keluar dan berlari kira-kira 50 meter sambil meminta bantuan pengguna lain,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 15 minit kemudian ketika beberapa pengguna mula memberikannya bantuan beberapa gajah dipercayai kumpulan gajah sama kembali dan menyerang kenderaannya.

Katanya, semua pengguna hanya membiarkan gajah itu ‘melepaskan geram’ sebelum ia beredar ke ladang kelapa sawit di kawasan berhampiran.

“Akibat kejadian itu, saya terpaksa menerima hampir 20 jahitan di kepala, pipi, kelopak dan atas mata serta bibir kiri.

“Selain itu, bahu, tangan dan kaki kiri bengkak, buat masa ini saya masih belum larat untuk melawat anak dan isteri di HSI kerana masih lemah, namun akan ke sana apabila badan kembali sihat,” katanya.

Beliau lega kerana hanya cedera ringan dan namun berharap pihak berkuasa menempatkan gajah itu dilokasi lebih sesuai.

Katanya, masalah itu berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu dan ia mula membahayakan nyawa pengguna jalan berkenaan – brrita harian