RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 merampas 235 lembu, 82 kambing serta biri-biri yang diseludup masuk dari Thailand menerusi tiga serbuan berasingan sejak Jumaat lalu hingga petang semalam.

Serbuan di Kampung Tok Uban, Pasir Mas; Kampung Pulai di Pengkalan Kubor dan Kampung Pak Itam di Rantau Panjang itu menghasilkan nilai rampasan sebanyak RM1.1 juta.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Ramli Poncho pada sidang media di sini hari ini, berkata serbuan dilakukan di kawasan kandang ternakan yang dikesan hasil risikan bermula dari sempadan Sungai Golok.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 3.45 pagi Jumaat lalu di Kampung Tok Uban, pihaknya merampas 37 lembu, diikuti 123 lembu lagi dalam serbuan kedua di Kampung Pulai pada jam 5.08 petang kelmarin.

“Serbuan ketiga di Kampung Pak Itam petang semalam pula mengasilkan rampasan 75 lembu, 46 kambing Boer dan 38 biri-biri. Kita terlebih dahulu membuat risikan ketika ternakan terbabit dibawa masuk sebelum mengesan kandang tempat menyimpan lembu dan kambing itu,” katanya.

Yang hadir sama pada sidang media, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan, Mohd Azam Yahya.

Ramli berkata, penyeludup menggunakan pangkalan haram untuk membawa lembu menyeberangi Sungai Golong dengan berenang, manakala kambing dan biri-biri pul diseludup menggunakan perahu.

“Lembu sangat senang dibawa masuk kerana boleh berenang. Setiap seekor hanya mengambil masa antara dua hingga tiga minit sahaja untuk berenang menyeberang sungai dari kawasan Thailand ke Rantau Panjang.

“Kami mengenal pasti beberapa pangkalan haram untuk kegiatan ini, iaitu Mek Gombak dan Pos Ular yang aktif digunakan untuk menyeludup masuk lembu, terutama antara waktu Maghrib hingga Subuh.

“Kita percaya lembu berkenaan dibawa masuk dari Thailand untuk bekalan Aidilfitri. PGA akan memberi tumpuan khusus terhadap kegiatan berkenaan,” katanya sambil menambah, ternakan yang dirampas diserahkan kepada MAQIS untuk tindakan lanjut – Berita harian