SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) masih belum memuktamadkan calon untuk mengisi jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu walaupun tarikh Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dijadualkan, 19 Jun ini.

Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti itu mempunyai ramai calon berkelayakan untuk mengisi jawatan berkenaan.

“Kami hampir selesai (membuat pilihan calon). Kami akan membuat perbincangan lanjut dan memuktamadkan pilihan kami.

“Ada ramai calon berpotensi dan berkelayakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

Ditanya jika calon Menteri Besar Selangor yang baharu akan dipilih dalam kalangan wakil rakyat PKR, Anwar berkata jawatan itu terbuka kepada semua parti komponen PH tetapi parti yang memegang kerusi terbanyak berhak menentukan calon.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon berpotensi itu.

Sebelum ini, media melaporkan tiga nama dari PKR disebut-sebut sebagai bakal mengisi kerusi berkenaan.

Mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari; ADUN Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin dan ADUN Paya Jaras, Khairuddin Othman.

Terdahulu, Anwar tiba di Istana Bukit Kayangan di sini, kira-kira jam 10 pagi dan meninggalkannya jam 11.40 pagi.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Anwar berkata, pertemuan dengan Sultan Selangor berjalan dengan baik dan baginda berkenan membincangkan beberapa isu termasuk kebajikan rakyat, kedudukan Islam dan kepentingan bahasa kebangsaan.

“Ia berjalan lancar. Saya menghadap Sultan Selangor. Baginda menyatakan kebimbangannya dengan perkembangan di Selangor dan baginda diberi jaminan bahawa peralihan kuasa (Menteri Besar) akan dilaksanakan dengan lancar.

“Baginda turut bertanyakan kesejahteraan saya dan gembira dengan pembebasan saya. Baginda menyatakan kebimbangannya terhadap beberapa isu. Kami akan terus menyumbang kepada kesejahteraan Malaysia, tetapi juga mempertahankan kepentingan bahasa kebangsaan dan kedudukan Islam yang juga di bawah kuasa Raja.

“Kami juga membincangkan masa depan Selangor, pembangunan dan perubahan yang boleh dibuat, selain usaha untuk menjamin keamanan dan keharmonian. Saya fikir itu yang penting,” katanya.

Anwar yang sebelum ini dihukum penjara lima tahun selepas disabitkan kesalahan liwat pada 2015, dibebaskan selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memberikan pengampunan penuh pada 16 Mei lalu.

Sejak dibebaskan, Anwar sudah menghadap Sultan Muhammad V sebelum Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima menghadap di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada 22 Mei lalu dengan ditemani anak sulungnya, Nurul Izzah – berita harian