PETALING JAYA : Pakatan Harapan mencapai persetujuan dalam pertemuan malam ini sebelum baki ahli Parlimen mereka menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Bagaimanapun, kebanyakan pemimpin tertinggi PH, termasuk Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada PKR, Lim Kit Siang serta Lim Guan Eng daripada DAP dan Mujahid Yusof Rawa daripada Amanah mengelak media selepas pertemuan di ibu pejabat PKR itu selesai.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, PH sudah mencapai kata sepakat, tetapi enggan mendedahkan butirannya.

“Kami sudah membuat keputusan dan akan umum esok. Kami sudah capai konsensus.”

Mengenai pilihan PH untuk jawatan perdana menteri, Salahuddin berkata, ia akan didedahkan esok.

Petang tadi, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mula menemui sebahagian daripada 222 ahli Parlimen sebelum memutuskan calon perdana menteri baru.

Kumpulan pertama 90 ahli Parlimen menemui Agong hari ini dan baki 132 lagi esok, dengan temu bual ringkas kira-kira 2 hingga 3 minit itu bagi setiap ahli Parlimen itu bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat mereka berhubung situasi politik negara.

Terdahulu, Barisan Nasional dan PAS mahu Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan untuk memilih kerajaan baru, selepas ahli Parlimen parti pembangkang itu menghadap Agong.

Ditanya jika PH yakin boleh mendapat majoriti, Khalid berkata “insya Allah”, tetapi beliau menolak kemungkinan majoriti 2/3.

Katanya, ia “mencukupi” jika mereka mendapat majoriti mudah.

Ini ialah mesyuarat Majlis Presiden PH pertama sejak PPBM meninggalkan gabungan itu dan Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri semalam.