IPOH 2 Feb. – Pakatan Harapan (PH) menghadapi cabaran untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Mac ini ekoran gabungan parti itu dengan Pas.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Wong Kah Woh bagaimanapun berkata, pada PRK DUN Semenyih itu, DAP akan bersama-sama membantu kempen calon PH dalam usaha mengekalkan kemenangan di kerusi DUN berkenaan.

“Sudah tentu PRK (Semenyih) ini sama seperti PRK cameron Highland di mana kita menghadapi cabaran daripada BN dengan bantuan Pas.

“Namun begitu, semangat jentera kita kini amat tinggi dan kita akan turun berkempen untuk kekalkan kerusi (DUN) tersebut,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan buah limau mandarin kepada orang ramai di Pasar Kampung Simee di sini hari ini.

BN pada 26 Januari lalu menerusi calonnya, Ramli Mohd. Nor menewaskan tiga pencabarnya termasuk calon PH, M. Manogaran sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti besar iaitu 3,238 undi.

PRK DUN Semenyih pula diadakan susulan kematian penyandangnya daripada PH, Bakhtiar Mohd. Nor, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN berkenaan diadakan pada 2 Mac ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari, manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari.-UTUSAN ONLINE