CYBERJAYA: Langkah pakatan harapan (PH) mahu menghapuskan pemberian lesen tunggal mengimport beras, hanya akan membunuh industri beras tempatan, selain menjejaskan pendapatan lebih 200,000 pesawah di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata sekiranya kebebasan diberikan kepada sesiapa sahaja untuk mengimport beras, mereka akan menjual mengikut harga sendiri.

“Ia akan membunuh industri, juga akan menghukum dan menjejaskan 200,000 penanam padi kita, sekiranya harga beras luar lebih murah, orang tidak akan beli beras tempatan, ini akan memberi ancaman kepada penanam padi seluruh negara.

“Adanya pengimport tunggal, ia memudahkan kerajaan mengawal (keperluan dan permintaan) beras import,” katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini, hari ini.

Beliau mengulas janji PH menerusi manifestonya yang mahu menjamin keperluan asas makanan dan menjaga kebajikan petani termasuk mahu monopoli diberikan kepada Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dihapuskan .

Ahmad Shabery berkata, usaha menjamin keperluan asas makanan dan menjaga kebajikan petani bukan perkara baharu, malah sudah lama dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Misalnya mereka kononnya mahu mewujudkan dasar keselamatan makanan negara yang lebih baik. Walhal perkara ini sememangnya diberi tumpuan besar oleh kerajaan.

“Kerana itu dari segi kedudukan dalam kalangan negara ASEAN, soal keselamatan makanan Malaysia pada kedudukan kedua selepas Singapura, sedangkan negara itu tidak menghasilkan makanan, tidak ada industri ternakan, berbeza dengan Malaysia, yang mana skopnya lebih luas, termasuk kaedah penghantaran bekalan makanan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Malah kedudukan kita lebih tinggi dari Thailand, Indonesia dan Vietnam, ertinya di rantau Asia Tenggara, kita adalah antara yang terbaik dalam menjaga soal keselamatan makanan,” katanya – berita harian