JOHOR BAHRU : Pakatan Harapan (PH) Johor belum memikirkan sebarang langkah seterusnya termasuk tindakan perundangan untuk mencabar penubuhan kerajaan baharu negeri ini.

Penyelaras Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan, berkata ini kerana pihaknya masih menanti penyelesaian muktamad penubuhan kerajaan di peringkat Persekutuan sebelum merangka langkah seterusnya.

Aminolhuda yang juga Pengerusi AMANAH Johor, berkata apa sahaja tindakan yang akan diambil PH Johor bergantung sepenuhnya kepada perkembangan muktamad di peringkat Persekutuan.

“PH Johor tidak memikirkan lagi sebarang langkah yang ingin diambil termasuk tindakan perundangan mencabar penubuhan kerajaan negeri.

“Kita kena tunggu keputusan di peringkat Pusat barulah akan diputuskan tindakan lanjut, ” katanya yang juga Pengerusi AMANAH Johor, ketika dihubungi, hari ini.

Petang semalam, ADUN Benut, Datuk Hasni Mohammad sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 baharu selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene, kira-kira jam 5.09 petang.

Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-17 pada 14 April, 2019.

Ini adalah pelantikan Menteri Besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei 2018.

Rabu lalu, Sultan Johor bertemu dengan 54 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor bagi mengetahui siapa pilihan mereka untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu, ekoran keluarnya BERSATU daripada Pakatan Harapan (PH) pada Isnin lalu, sekali gus menjadikan Johor, kerajaan tergantung.

Namun ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga Pengerusi BERSATU Johor dan ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Timbalan Presiden AMANAH, tidak hadir pada pertemuan dengan Sultan Johor itu.

Ia menyebabkan Gabungan Baharu disertai UMNO, MIC, PAS dan BERSATU selain seorang ADUN PH yang masih belum dikenal pasti memperoleh majoriti mudah 28 ADUN bagi menubuhkan kerajaan negeri baharu, berbanding PH mendapat sokongan 26 ADUN.

Agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika ini terdiri daripada UMNO (14), DAP (14), BERSATU (11), AMANAH (9), PKR (5), MIC (2) dan PAS (1). -BH