IPOH – Tindakan DAP Perak memainkan isu status Twitter, Adun Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menyifatkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 23 Julai lalu sebagai terburuk dalam sejarah dilihat cuba menutup masalah sebenar di hadapi Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia jelas membuktikan DAP menggunakan kuasa mereka dengan bersikap kuku besi apabila tidak boleh menerima kritikan.

“Amat malang apabila isu Twitter ini dijadikan usaha mengalih pandang untuk menutup masalah dihadapi PH yang kucar-kacir dengan isu politik dalaman, kelemahan pentadbiran dan isu-isu moral.

“Apa yang pasti ialah DAP menggunakan kuasa mereka dengan bersikap kuku besi. Inilah contoh keangkuhan kuasa Kerajaan PH ditunjang DAP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saarani turut menegur sikap Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang dilihat cuba berlagak suci dan tidak boleh ditegur selepas menjadi kerajaan.

“Siapa tidak kenal dengan Nga yang terkenal dengan hujah-hujah provokasi dan biadabnya pada sidang DUN, namun tidak ada tindakan pernah diambil terhadap beliau,” katanya.

Menurutnya, ketika ADUN PH menjadi pembangkang sebelum ini, pelbagai tuduhan, tohmahan dan kejian serta maki hamun dilemparkan mereka kepada kerajaan BN di media sosial.

“Adakah ini menjadi amalan Malaysia Baru di mana pihak kerajaan begitu sensitif serta alah dengan kritikan sehinggakan Twitter Dr Zambry menjadi isu besar. Inikah prinsip kebebasan bersuara dilaungkan PH sebelum ini?,” soalnya.

Saarani bekata, kedua-dua parti itu jauh lebih beradab dan tertib jika dibandingkan PH dan pemimpin parti yang menjadi pembangkang sebelum ini dengan UMNO dan Pas hari ini,.

“Agaknya mereka lupa peristiwa sidang DUN pada Mei 2009, apabila institusi DUN dihina dan diaibkan dengan tindakan yang tidak bertamadun,” katanya.

Terdahulu, Zambry melalui Twitternya menyifatkan Sidang DUN 23 Julai lalu sebagai hari terburuk dalam sejarah Sidang DUN Perak selepas Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham membuat keputusan menerima usul bagi ADUN Perak mengisytiharkan harta kepada beliau.