IPOH: Pakatan Harapan (PH) Perak mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjatuhkan kerajaan terdahulu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, mereka menyifatkan tindakan itu sebagai satu penghianatan kerana menderhaka kepada mandat rakyat menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat pelbagai kaum dan agama pada 9 Mei, 2018.

Sehubungan itu, mereka menuntut Ahmad Faizal memohon maaf kepada rakyat negeri Perak serta Tun Dr Mahathir Mohammad atas kelakuan pengkhianatan itu.

“Pakatan HARAPAN Perak juga menyatakan pendirian tidak akan mengiktiraf kerajaan pintu belakang yang gagal memperolehi mandat dari rakyat, sebaliknya membentuk kerajaan dengan cara mencuri kuasa bersama gabungan parti rasis yang telah kalah pada PRU-14 pada tahun 2018,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, selaras dengan undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak dan sistem demokrasi berparlimen, kesemua 27 ADUN PH akan berdiri teguh bersama pimpinan mereka.

Mereka juga menuntut persidangan Dewan Undangan Negeri khas diadakan segera untuk menentukan siapa yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Perak.

Mereka juga akan mengadakan jelajah ke seluruh negeri bagi memberi penerangan kepada rakyat apa sebenarnya yang berlaku dalam krisis rampasan kuasa ini demi mempertahankan mandat rakyat.