KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan (PH) memutuskan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, susulan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin.

Ketika mengesahkan keputusan itu, Anwar yang juga Presiden PKR, berkata PH sudah memohon kepada Dr Mahathir untuk kembali bersama PH tetapi ditolak dengan keengganan Perdana Menteri interim berkenaan hadir mesyuarat yang diadakan.

Katanya, segala keputusan membabitkan perlantikan jawatan Perdana Menteri dan penubuhan kerajaan yang baharu kini diserahkan sepenuhnya di atas pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

“Ekoran cubaan menubuhkan kerajaan secara pintu belakang, Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM. Keputusan BERSATU keluar dari Pakatan Harapan pada Isnin lalu, disusuli peletakan jawatan Tun sebagai Pengerusi BERSATU.

“Sehubungan itu, Majlis Presiden PH menjemput Tun Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat itu bagi memulihkan kerajaan Pakatan Harapan, namun Tun tidak bersetuju hadir dalam mesyuarat itu pada petang semalam.

“Justeru itu, keputusan Majlis Presiden semalam menetapkan calon Perdana

Menteri PH ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika membacakan kenyataan media Majlis Presiden PH dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR petang ini.

Anwar berkata, sejak cubaan menumbangkan kerajaan PH hujung minggu lalu, gabungan parti itu berusaha mempertahankan mandat rakyat Malaysia yang diberikan kepada mereka pada 9 Mei 2018.

“Kerajaan tersebut terbentuk sebagai sebuah gabungan yang diikat dengan Muafakat Pakatan Harapan yang dicapai pada 7 Januari 2018; diikuti pelancaran Buku Harapan (Manifesto) Pakatan Harapan pada 8 Mac 2018.

“Di atas asas inilah PH dibentuk, diberi mandat oleh rakyat dan menjalankan amanah sebagai kerajaan. PH tidak bersetuju dengan sebarang usaha menubuhkan kerajaan secara pintu belakang,” katanya.

Beliau berkata, PH kekal komited terhadap aspirasi dan amanat rakyat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik dari segenap sudut ekonomi, politik dan sosial dan tidak akan mengkhianati amanah itu.

TERKINI | Hormat Keputsan Yang di-Pertuan Agong

TERKINI | Semua sudah diundang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. Setiap keputusan yang putuskan Yang di-Pertuan Agong perlu dipatuhi semua parti dan rakyat

Posted by Buletin TV3 on Rabu, 26 Februari 2020