PETALING JAYA : Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menggesa Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya sebelum pilihan raya 9 Mei tahun lalu.

Dalam mesej Tahun Baru 2020, Lim yang juga menteri kewangan berkata, kebimbangan mengenai ekonomi mungkin berkurang susulan peningkatan penarafan kredit oleh agensi antarabangsa dan peningkatan pelaburan asing.

Bagaimanapun, beliau berkata masih ada keraguan mengenai keadaan politik.

“Oleh sebab itu, adalah penting keraguan ini dihapuskan dengan menjadikan 2020 di mana PH mula menunaikan semua janji yang belum dipenuhi,” katanya, dan menambah rakyat juga mahukan ekonomi yang kuat dan peralihan kuasa yang lancar dari Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim selepas Sidang Kemuncak Apec pada November 2020.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata walaupun terdapat optimisme bahawa 2020 akan lebih baik berbanding 2019 – terutama dengan prospek penyelesaian perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China – masih ada orang yang hampa kerana “maklumat yang salah, berita palsu, atau kekurangan kemajuan sebenar”.

Menyeru permusuhan agama dan perpecahan kaum, Lim juga membidas “ekstremis agama” yang dikatakannya cuba mendapatkan semula kuasa yang hilang kerana rasuah dan salah urus ekonomi.

“Malaysia mesti memilih perpaduan dan keharmonian, menggalakkan syarikat swasta dan melabur dalam kepelbagaian bakat,” katanya.

“Hanya pertumbuhan ekonomi boleh membawa kepada pekerjaan yang lebih berkualiti, kuasa beli yang lebih tinggi, penjagaan kesihatan, pengangkutan awam dan sekolah yang lebih baik, ‘connectivity’ yang bagus, kurang rasuah, dan kemakmuran bersama.”