PETALING JAYA: Pakatan Harapan mempertaruhkan Ketua PPBM Tanjung Piai, Karmaine Sardini sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen (P165) Tanjung Piai.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin di Hai Kee Hall, Pontian hari ini.

Karmaine, 66, dilahirkan di Telok Kerang, Pontian merupakan seorang ahli perniagaan. Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai pembantu teknik dan arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari 1978 hingga 1990 sebelum kembali ke Johor untuk memulakan perniagaan sendiri dan melibatkan diri dalam politik.

Beliau memegang jawatan pengerusi biro agama PPBM sebelum diangkat sebagai ketua bahagian.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November depan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Md Farid Md Rafik, 42, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Pada pilihan raya umum Mei tahun lepas, Md Farid yang mewakili PPBM-PH mengalahkan calon BN-MCA Wee Jeng Seng dan Nordin Othman daripada PAS dengan majoriti 524 undi.

Hadir di majlis pengumuman calon hari ini Timbalan Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung PPBM Marzuki Yahya serta Menteri Besar Johor Dr Shahruddin Jamal.

Karmaine dalam ucapannya berterima kasih kepada kepimpinan PH terutama Pengerusi Dr Mahathir Mohamad kerana memilihnya.