IPOH: Selepas dua minggu Perak menjulang Piala Malaysia, peminat The Bos Gaurus berpeluang melihat lebih dekat piala berprestij itu apabila ia dipamerkan di ruang legar Pasaraya Besar Mydin Meru, dekat sini.

Trofi yang menjadi simbol ikonik bola sepak negara akan dipamerkan pada 17 dan 18 November ini, selepas ia dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Kuala Kangsar, Ahad lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Abd Aziz Yeop Jamaluddin berkata, kejuaraan kali kelapan Perak adalah kejuaraan bersama yang harus diraikan juga oleh rakyat negeri ini.

“Kami amat berbangga kerana dapat membawa trofi ini untuk dipamerkan kepada peminat-peminat sukan bola sepak di negeri ini.

“Peminat bola boleh menatap dan bergambar di sisi trofi keagungan bola sepak negara yang berusia 95 tahun dan menjadi rebutan pasukan bola sepak tanha air,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Abd Aziz menambah, pameran itu juga bakal dihadiri pemain-pemain pasukan The Bos Gaurus yang akan beramah mesra dengan para peminat.

“Pameran ini juga merupakan satu penghormatan dan sekaligus menunjukkan sukan bola sepak telah berjaya menembusi sempadan sosial dan budaya kerana saya yakin peminat sukan ini datang dari pelbagai latar belakang.

“Kita harap pameran ini juga akan beri suntikan kepada peminat untuk terus memberikan sokongan penuh kepada pasukan negeri pada musim baharu akan datang,” ujarnya.

Pasukan bola sepak Perak menamatkan penantian 18 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas menumpaskan pasukan Terengganu FC di Stadium Shah Alam, Selangor, 27 Oktober lalu.

Perak mengatasi Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 sesudah terikat 3-3 selepas masa tambahan.