MALAYSIA meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Korea Selatan dalam persaingan Kumpulan C Piala Thomas, pada Selasa di Kunshan, China.

Seperti dijangka, Datuk Lee Chong Wei melonjakkan semangat skuad badminton negara apabila menundukkan pemain ranking kesembilan, Son Wan-Ho dalam straight set.

Korea bagaimanapun mengejar rapat apabila dua beregu mereka, Lee Yong Dae dan Yoo Yeon Seong, serta Kim Gi-jung dan  Kim Sa-rang menang dua perlawanan berikutnya.

Pemain perseorangan kedua negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengembalikan semangat pasukan apabila mengejutkan pemain nombor 16 dunia, Lee Dong Keun dengan kemenangan 21-17, 21-15.

Dalam perlawanan penentuan, Chong Wei Feng, pemain ranking ke-68 dunia, menampilkan persembahan membanggakan untuk menewaskan pemain nombor 28 dunia, Jeon Hyeok Jin, dengan mata 21-16, 21-16 bagi mengesahkan kemenangan skuad negara.

Selaku juara kumpulan, skuad Piala Thomas Malaysia melangkah ke peringkat suku akhir pada hujung minggu ini.

Selain Malaysia, turut layak ke suku akhir adalah juara bertahan, Jepun dan tuan rumah, China (Kumpulan A), Indonesia, Thailand (Kumpulan B), Denmark,Taiwan (Kumpulan D) dan Korea Selatan sebagai naib juara Kumpulan C.Terdahulu, skuad Piala Uber negara kandas apabila tewas kepada Denmark.