IPOH – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dinasihatkan supaya tidak mengganggu urusan pentadbiran sekolah terutama melibatkan pertukaran guru.

Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) Perak, Datuk Rosli Yang Danian berkata, urusan pentadbiran sekolah terletak dalam bidang kuasa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah itu sendiri.

Katanya, sebarang isu berkaitan pengurusan dan pentadbiran sekolah mampu diselesaikan secara bijaksana oleh JPN dan PPD tanpa perlu campur tangan mana-mana pihak.

“PIBG sepatutnya faham kedudukan ini berlandaskan Perkara 53 dalam Perlembagaan PIBG. Konsep kemasyarakatan sekolah adalah elemen yang lebih penting dari mencampuri urusan pentadbiran sekolah.

“Pihak sekolah memerlukan sokongan ibu bapa dan bukan memberikan tekanan kepada mereka.,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan PIBG Sekolah Kebangsaan  (SK) Sultan Abdul Aziz Kuala Kangsar yang mengadakan demontrasi membantah pertukaran guru penolong kanan sekolah berkenaan, semalam.

Rosli berkata, PIBG seharusnya memberikan perhatian mengenai gerak kerja bersama pihak sekolah bagi memajukan institusi itu dari aspek prasarana dan pembangunan modal insan pelajar.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menasihati semua Yang Dipertua PIBG sekolah di Perak supaya berhati hati dalam mengambil sebarang tindakan.

Katanya, tindakan yang tidak sepatutnya berlaku dikhuatiri akan menjejaskan perlaksanaan kerja pembangunan modal insan seperti dirancang kerajaan khususnya JPN dan Kementerian Pendidikan – sinar