IPOH: Penganjuran Dialog Pangkor yang masuk tahun keempat berjaya menyerlahkan pencapaian Perak yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata antara pencapaian besar Perak sepanjang empat tahun penganjuran ialah Ipoh diiktiraf secara rasmi sebagai Bandar Perniagaan Sosial pertama di ASEAN, kedua di Asia dan kelima di dunia oleh pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus, tahun lalu.

Katanya, selain itu portal pelancongan terkenal dunia, Lonely Planet, mengiktiraf Perak sebagai antara 10 wilayah yang mesti dilawati di dunia manakala Ipoh sebagai antara 10 lokasi untuk dilawati di Asia.

“Ipoh kini juga muncul sebagai hab lokasi pilihan dalam penganjuran mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran atau MICE malah Dialog Pangkor juga kini digelar sebagai Davos di Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kata aluan pada Majlis Perasmian Dialog Pangkor 2017 di Pusat Konvensyen Aman Jaya di sini hari ini.

Perasmian program itu disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Zambry berkata, kerajaan negeri juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang bekerjasama dengan Institut Darul Ridzuan (IDR) dalam menganjurkan Dialog Pangkor 2017.

“Ini jelas melambangkan hubungan strategik dan sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Aspirasi Dialog Pangkor untuk menjadikan Perak sebagai lokasi pilihan dunia dalam penganjuran mesyuarat dan pertemuan dalam bidang berkaitan pembangunan mapan,” katanya.

-BH Online