IPOH– Pemilik premis dan peniaga dinasihatkan agar memilih ejen yang berdaftar bagi mendapatkan sebarang dokumen yang dikeluarkan oleh pihak bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak , Datuk Yahaya Madis berkata, terdapat segelintir pihak mengambil jalan mudah dengan mendapatkan sijil perakuan bomba dan alat pemadam api palsu.

“Pemalsuan dokumen bomba lebih kepada sijil-sijil yang Bomba keluarkan, contohnya pengesahan pada alat pemadam api.

“Ada pihak yang tidak melalui Bomba dan ambil jalan mudah, padahal pihak Bomba hanya mengenakan caj serendah RM 5, tetapi mereka pilih ejen yang ambil untung dengan membuat satu sijil berkomputer dan dipalsukan.

“Cas perkhidmatan mereka (ejen palsu) kenakan dan sijil dapat tetapi tidak valid (terpakai) ,pastikan kalau mereka menggunakan khidmat ejen,berdaftar dan rujuk dengan pihak bomba,” katanya kepada pemberita di Perhimpunan Bulanan Bulan September di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat JBPM Perak di sini pada Jumaat.

Yang turut sama, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Mohamad Yunus Abu dan Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Ramli Saari.

Beliau berkata demikian susulan kes pemalsuan dokumen yang berjaya dikesan tahun lalu di Tapah, di bawah siasatan Bahagaian Penyiasatan Kebakaran dengan kerjasama pihak polis.

Tambah Yahaya pemalsuan dokumen dapat dikesan menerusi Pemeriksaan Penghapusan Bahaya Kebakaran apabila pihak bomba memeriksa sijil-sijil dan alatan kebakaran di premis-premis.

“Kalau ada (sijil), kita keluarkan atau orang lain, pemadam api cukup atau tidak dan disahkan, kita dapat lihat perbezaan di antara sijil yang sah dan tiruan.

“Kadang-kadang peniaga pun tidak perasan rupanya ejen yang dipilih tidak melalui bomba, satu pemeriksaan oleh pihak bomba RM 5 sahaja iaitu kadar lama sejak tahun 70an dan tidak pernah dinaikkan,” katanya.