KUALA LUMPUR : Presiden Amanah, Mohamad Sabu menasihatkan perwakilan partinya supaya memilih pemimpin berdasarkan merit bukan menerusi amalan cai.

Beliau berkata pemimpin yang bakal dipilih perlu dilihat melalui kebolehan dan kemampuan yang dimiliki kerana ia bakal membantu dalam menerajui parti.

Katanya lagi, sistem cai boleh menyebabkan pemimpin yang berkebolehan tersingkir dari jawatan-jawatan penting hanya kerana tidak dalam senarai kumpulan tertentu.

“Sistem ini menyebabkan orang yang baik daripada kumpulan yang lain tak akan boleh menang, walaupun dia baik, dia bekerja tapi bukan dari kumpulan kita dia tak boleh menang.

“Kita mahu orang yang baik dipilih berdasarkan kerjanya, meritnya,” katanya dalam satu temubual khas Astro Awani baru-baru ini.

Mohamad yang juga menteri pertahanan menasihatkan anggota Amanah supaya mengambil pengajaran daripada parti PAS yang menggunakan sistem cai sehingga menyebabkan pemimpin yang berkebolehan tersingkir kerana tidak berada dalam senarai kumpulan tersebut.

“Parti PAS yang bertahan lama dulunya kerana dia melihat kepada merit, sebab itulah yang berkerja kuat itu selalunya top 10.

“Sehinggalah pada tahun 2015, tahun 2015 tidak berlaku begitu, dia (ahli Pas) lihat pada orang yang disenarai yang ini perlu dipilih, jadi soal kerja, soal pengorbanan kepada parti yang ini tidak diambil kira,” katanya lagi.

Sehingga kini, difahamkan terdapat beberapa pemimpin Amanah nyaris tersingkir dan gagal merebut tempat dalam pemilihan parti.

Pada 8 Sept lalu, Ketua Wanita Amanah Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud, nyaris tersingkir daripada senarai 15 calon yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan kepemimpinan parti itu di kawasan Puchong.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil turut mengakui penggunaan senarai berkumpulan – yang lebih dikenali sebagai cai – sebagai punca beliau kalah dalam pemilihan parti itu bagi kawasan Permatang Pauh.

Untuk rekod, cai ialah senarai nama yang digunakan oleh anggota parti untuk memilih kepemimpinan di sesuatu peringkat parti. Ia membabitkan nama-nama calon yang dilobi untuk dipilih anggota parti.

Disember ini, Amanah bakal mengadakan pemilihan pimpinan parti peringkat nasional buat pertama kalinya selepas ditubuhkan empat tahun lalu.

Pemilihan di kawasan-kawasan yang akan berlangsung sehingga akhir Ogos, selepas itu pemilihan di peringkat negeri akan berlangsung pada Oktober.