PETALING JAYA: Kerajaan dijangka hanya akan dapat meluluskan pindaan akta bagi memansuhkan hukuman mati mandatori yang dilaksanakan ini selama ini, selepas tahun 2019.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata pindaan terhadap akta itu dijangka dihalang untuk diluluskan di Dewan Negara seperti apa yang berlaku pada Akta Antiberita Tidak Benar 2018 baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, ia disebabkan bilangan Senator pembangkang di Dewan Negara ketika ini melebihi bilangan ahli Senat kerajaan.

“Proses pindaan terhadap akta yang berkaitan hukuman mati mandatori akan mengambil sedikit masa. Setakat ini pelaksanaan hukuman mati mandatori itu ditangguhkan.

“Masalahnya (penangguhan) ialah apabila sesuatu akta dikemukakan untuk dipinda dan kemudian diluluskan di Dewan Rakyat, ia akan dihalang di Dewan Negara. Macam masa hendak mansuh Akta Antiberita Tidak Benar, ia dihalang (untuk diluluskan) di Dewan Negara.

“Selepas tahun 2019, apabila tempoh lantikan Ahli Senator kerajaan terdahulu tamat, barulah pindaan terhadap akta itu boleh diluluskan Dewan Negara. Dalam setahun lagi, Senator akan berubah, yang dilantik kerajaan sebelum ini tamat pada 2019, masa itu baru boleh lantik kuota yang betul.

“Senator yang dilantik hari ini tidak mewakili kerajaan yang baharu. Kena tunggu Senator sedia ada tamat tempoh baru lantik yang baharu, baru keadaan jadi betul,” katanya kepada wartawan Media Prima Berhad (Media Prima) selepas melawat Sri Pentas, Bandar Utama di sini, semalam.

Khalid meluangkan masa hampir dua jam melawat Sri Pentas yang menempatkan pusat operasi berita rangkaian televisyen Media Prima.

Beliau diiringi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima, Johan Ishak; Pengarang Urusan, Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Manja Ismail serta Ketua Kandungan Komersial dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Azura Zainal Ratin.

Khalid mengulas keputusan Kabinet semalam yang bersetuju pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata rang undang-undang (RUU) bagi memansuhkan hukuman mati mandatori dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Sementara itu, Khalid mempertahankan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang melarang Perdana Menteri memegang portfolio lain dalam Kabinet bukan ‘manifesto bodoh’ seperti dinyatakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Sebaliknya, beliau berkata manifesto itu bertujuan membebaskan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada bebanan tugas lain yang dikhuatiri mengganggu tumpuannya sebagai Perdana Menteri.

“Tugasnya (Dr Mahathir) sebagai Perdana Menteri sangat mencabar dalam keadaan sekarang seperti yang beliau akui ramai menteri baharu dalam Kabinet. Kita perlu Perdana Menteri yang bebas dan boleh memantau semua kementerian.

“Kalau tumpu kepada Kementerian Pendidikan juga, ia akan menjadi beban berlebihan kepada beliau. Biar Dr Mahathir bebas daripada jaga portfolio lain. Beliau pun tidak semuda dulu. Banyak yang perlu dilakukannya.

“Lagipun pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan mendapat sambutan dan diterima baik institusi pengajian tinggin dan universiti. Saya fikir ia bukan manifesto yang bodoh,” katanya – berita harian