GOLD COAST: Pingat emas yang tidak diduga!

Itulah pengakuan Muhd Aznil Bidin selepas memenangi emas dalam kategori 62 kilogram (kg) di Carrara Sports and Leisure Centre, sebentar tadi.

“Saya hanya menyasarkan perak, tetapi akhirnya menang emas. Saya bersyukur,’ kata atlet berusia 23 tahun kelahiran Kedah itu.

Aznil yang tidak diletakkan harapan melakukan kejutan dengan melakukan angkatan 126kg dalam acara snatch, clean and jerk (162kg) sekali gus menghimpun jumlah angkatan keseluruhan 288kg.

Lebih manis, jumlah angkatannya itu berjaya mengatasi catatan peribadi terbaiknya iaitu 279kg yang dilakar pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos lalu.

Emas itu adalah yang kedua diraih skuad angkat berat negara selepas Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad seperti dijangka menyumbang emas pertama dengan mengungguli kategori 56kg pada saingan sebelah pagi.

Lebih bermakna, Azroy turut memecahkan rekod dua rekod Sukan Komanwel, kedua-duanya milik Amirul Hamizan Ibrahim dalam acara snatch dan keseluruhan.

Azroy melakukan angkatan 117kg dalam acara snatch, mengatasi rekod lama 116kg milik Amirul yang dilakukan pada Sukan Komanwel New Delhi 2010, clean and jerk (144kg) dan 261kg dalam acara keseluruhan untuk turut memecahkan rekod Amirul di Manchester 2002.

“Saya akui kemenangan Azroy memberi inspirasi kepada saya untuk memberikan yang terbaik.

“Saya berbangga dengan diri sendiri. Saya dedikasikan pingat emas ini untuk rakyat Malaysia dan keluarga saya.

“Saya akan menjadikan kejayaan ini sebagai motivasi untuk menghadapi temasya Sukan Asia di Indonesia selepas ini. Saya mahu meningkatkan lagi angkatan saya,” kata Aznil.

Pingat perak menjadi milik atlet dari Papua New Guinea, Morea Baru yang angkatan keseluruhannya kurang 2kg daripada Aznil sementara gangsa dibawa pulang atlet Pakistan, Talha Talib dengan 283kg.