PARIT BUNTAR : Disebabkan kesempitan hidup, seorang datuk terpaksa meminjam motosikal rakannya untuk membawa tiga cucunya ke program sumbanga ‘Back To School’ anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong di sini, pada Jumaat.

Kisah meruntun jiwa itu dikongsi sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dalam laman Facebooknya.

Hasnul Zulkarnain yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri berkata, beliau hanya mengetahui perkara itu apabila melihat seorang lelaki datang ke program tersebut menaiki motosikal membawa cucunya.

Menurutnya, penerima sumbangan diminta hadir ke sebuah pusat membeli-belah untuk memilih kelengkapan persekolahan masing-masing.

Katanya, beliau menyapa seorang lelaki yang dikenali Pakcik Kassim yang menceritakan terpaksa meminjam motosikal rakannya semata-mata untuk membawa cucunya ke program itu.

“Luluh hati saya apabila dia kata pinjam motor orang untuk datang, kalau saya tahu, sudah pasti saya sendiri yang datang ambil cucu-cucunya,” katanya.

Hasnul Zulkarnain yang juga Ketua Pemuda Amanah Nasional berkata, Pakcik Kassim menjaga tiga orang cucu setelah anak lelaki dan menantunya bercerai.

Anak lelaki Pakcik Kassim pula dikatakan mengalami masalah kesihatan, menyebabkannya hilang kemampuan untuk menjaga anaknya.

“Pakcik Kassim kata demi cucu-cucu kesayangannya itu beliau sanggup berkorban apa sahaja. Ternyata dia seorang datuk yang sangat bertanggungjawab walaupun diuji dengan serba kekurangan.

“Sudah pasti saya akan terus membantu keluarga Pakcik Kassim. Semoga Pakcik Kassim akan terus kuat melalui ranjau kehidupan yang serba ujian. Saya akan terus membantu!,” ujarnya.