BAGAN SERAI: Penemuan dadah dan pistol dalam satu serbuan polis di sangkar ikan di Kuala Gula, Kuala Kurau, dekat sini, mengheret tiga lelaki yang memiliki pelbagai rekod jenayah dan dadah ke dalam tahanan reman.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, polis menemukan sepucuk pistol jenis Revolver .38 itu di atas siling pondok sangkar ikan itu dalam satu bungkusan bersama tiga butir peluru.

“Serbuan khas itu dilakukan sekitar jam 10 pagi Sabtu lalu membabitkan penahanan tiga lelaki yang berusia antara 32 hingga 36 tahun di kawasan tersebut.

“Polis turut menjumpai sebungkus plastik dipercayai mengandungi dadah jenis heroin seberat 106 gram di lantai kawasan sangkar ikan itu serta sebungkus plastik lut sinar dipercayai dadah jenis syabu seberat satu gram dalam poket seluar salah seorang suspek,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, polis masih menyiasat tujuan senjata api tersebut disembunyikan di tempat itu selain memburu pemilik sangkar ikan berkenaan.

Katanya, polis turut menyita beberapa barangan milik suspek iaitu dua buah bot gentian kaca lengkap dengan enjin sangkut jenis Mercury 60 kuasa kuda (hp) dan Yamaha 60hp, sebuah kereta jenis Mazda serta wang tunai RM 3,000.

Beliau berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bermula tarikh tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B,12(2),15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.