KUCHING: Tanda tanya mengenai pemilik sepucuk pistol yang ditemui di tandas Wisma Seberkas, di sini, Rabu lalu terjawab selepas ia disahkan milik Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soo Kuai berkata, Riot tampil membuat laporan polis berhubung kehilangan pistol separuh automatik jenis Smith and Wesson, hari ini.

Menurutnya, bekas Menteri Sumber Manusia itu membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Kuching jam 10.40 pagi ini berhubung kehilangan senjata api yang dilesenkan kepada beliau.

“Selepas menerima laporan kehilangan dan siasatan lanjut dijalankan, polis mengesahkan pistol yang ditemui Rabu lalu milik Ahli Parlimen Serian itu.

“Setakat ini siasatan lanjut terhadap penemuan itu masih dijalankan dan keterangan daripada Richard sudah diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 35 Akta Senjata Api 1960,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rabu lalu, penyelia Wisma Saberkas membuat laporan polis selepas menemui sepucuk pistol bersama enam butir peluru di dalam tandas bangunan berkenaan jam 8 malam.

Sepasukan polis kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut sebelum senjata api itu diambil polis untuk siasatan lanjut bagi mengesan pemiliknya – berita harian