IPOH 18 April – Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) membantah cadangan kerajaan untuk menawarkan 10,000 permohonan baharu bagi kontraktor kelas G1 ketika penawaran kontrak kerja yang semakin terhad.

Presiden PKMM, Datuk Mohamed Fadzill Hassan berkata, Lesen G1 atau dahulunya dikenali Kelas F khusus bagi kontraktor bumiputera yang keahliannya ketika ini kira-kira 24,0000 orang.

Menurutnya, berikutan peluang kontrak kerja yang semakin mengecil ketika ini, lesen baharu itu akan menyukarkan lagi kontraktor sedia ada untuk bersaing terutamanya dalam bidang pembinaan.

Katanya, PKMM akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed untuk diberikan perhatian agar cadangan itu dibatalkan.

“Kepimpinan PKMM sebulat suara membantah perkara tersebut sebaliknya meminta kerajaan memberikan peluang kerja seimbang kepada kontraktor sedia ada.

“Kontraktor kelas G1 kebanyakannya terdiri dalam kalangan bumiputera dan berpendapatan kecil. Ketika ini mereka sendiri berhadapan dengan kesukaran mendapatkan kontrak kerajaan.

“Isunya apabila kewujudan syarikat-syarikat konsesi yang turut merampas projek-projek yang sebelum ini dijalankan oleh kontraktor kelas ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-42 PKMM negeri Perak di Hotel Casuarina di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE