Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Walaupun tersungkur di tengah jalan, pencapaian pasukan PKNP FC yang berjaya ke pusingan separuh akhir kedua Piala FA membuktikan prestasi pasukan bola sepak ini semakin positif meskipun baru menyertainya sejak tahun lepas.

Jurulatih pasukan, Abu Bakar Fadzim berkata meskipun tewas kepada pasukan Pahang di laman sendiri dalam perlawanan di Stadium Perak pada Ahad namun ianya merupakan pengalaman hebat buat anak buahnya.

Katanya, beliau sendiri mengakui kehebatan kesebelasan pasukan Tok Gajah yang sememangnya digeruni dan dihormati dalam perlawanan liga-liga di seluuh Malaysia.

“Ini pengalaman pertama anak-anak buah saya menentang jentera Pahang, dan mungkin mereka tahu kekuatan Pahang dan mereka menghormatinya.

“Kita cuba bersaing,…tetapi pada separuh masa kedua saya nampak permainan ada sedikit complacent (selesa) dengan bola.

“Mereka (PKNP) cuba membuat serangan..namun kita akui pencapaian kita sampai di sini sahaja, Pahang layak untuk ke final,”ujarnya kepada pemberita dalam sidang media selepas perlawanan Pahang menentang PKNP FC pada malam Ahad.

Abu Bakar atau Burn, yakin bahawa pasukan kendaliannya akan dapat menjadi lebih baik pada Piala FA pada tahun hadapan dengan pencapaian memberangsangkan sepanjang dua tahun ini.

“Berbaki enam perlawanan lagi (Liga Super), dan saya yakin kita akan berada di dalam ranking, …kita memperagakan bakat kita. Saya rasa kita mencapai matlamat dan objektif utama dalam Piala FA secara ansur maju.

“Tahun lepas, kita hanya berada di suku akhir dan tahun di Piala FA, malah tahun ini tahun pertama kita di Liga Super dan mungkin agak bertuah kerana menerusi undian,kita membentuk momentum bertemu dengan Felda dan seterusnya Pahang, tahun depan kita akan menjadi lebih baik menentang Pahang,”ujarnya lagi.

Ketika ditanya sama ada ketiadaan Shahrel Fikri Md Fauzi yang merupakan ayam tambatan PKNP FC menjadi punca kekalahan mereka, Burn mengatakan bahawa ia bukanlah satu perkara relevan untuk mengaitkannya buat masa ini.

Jelasnya, keputusan yang dibuat oleh pemain utama pasukan yang dipinjamkan sementara ke kelab Thailand itu diyakini akan dapat memanfaatkan keseluruhan jentera PKNP FC di masa hadapan.

“Saya fikir secara jangka panjang, tiada kerugian sebenarnya kerana di sana, dia
mengambil keputusan berani. Selepas ini mungkin dia akan menjadi lebih matang, samada dia disambung kontrak atau tidak… sekiranya dia kembali ke sini saya yakin ilmu dan pengalamannya akan digunakan untuk membimbing pasukan PKNP pada tahun hadapan,”ujarnya lagi.