IPOH: Pasukan PKNP FC mengikat pemain import ketiganya apabila menandatangani kontrak dengan Yashir Islame Pinto pada Rabu.

Pemain pasukan kebangsaan Palestin kelahiran Chile itu menandatangani ikatan selama setahun di hadapan Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

“Pinto bukan asing dalam kancah Liga Malaysia kerana pernah mewakili Melaka United pada 2016 dan Perak TBG 2017.

“Kehadirannya sudah tentu menyemarakkan lagi semangat PKNP FC,” katanya pada sidang media selepas menandatangani kontrak pemain itu.

Menurut Zainol, pihaknya juga dalam proses mengikat pemain import keempat dari Senegal dalam tempoh terdekat.

Katanya, pemain tersebut sedang menjalani pemeriksaan kesihatan dan jika lulus, mereka akan mengikat kontrak dengan pemain itu.

Beliau berkata, PKNP FC akan menggunakan empat pemain import sahaja buat sementara waktu dan akan mendapatkan import kelima jika perlu.

Dalam pada itu, Zainol memberitahu, pihaknya juga sudah mendapat pelepasan untuk Khairul Asyraf Shahizah dan Muhd Rafiq Faeez Muhd Fuad dari Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Sehubungan itu, ujarnya, kedua-dua pemain itu bukan lagi dipinjamkan tetapi menjadi pemain tetap PKNP FC.