KUALA TERENGGANU: Terengganu dimalukan di hadapan penyokong sendiri apabila tewas kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC 4-2 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Lebih mengaibkan, anak buah Irfan Bakti Abu Salim itu tewas kepada pendatang baharu Liga Perdana itu yang hanya beraksi dengan 10 pemain selepas Muhammad Fadhil Idris dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Muhd Rahmad Jantan kerana mengasari Issey Nakajima Farran pada minit ke-46.

Perlawanan disambung semula pada minit ke-11 selepas aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus pada 20 Januari lalu ditunda akibat cuaca dan keadaan padang yang tidak mengizinkan selepas 10 minit aksi.

Seminit sebaik aksi disambung, tuan rumah yang mendapat sokongan hampir 10,000 penyokong yang masuk percuma tergamam apabila pelawat berada di depan selepas kapten PKNP FC, Muhd Shahrel Fikri Md Fauzi menanduk masuk sepakan penjuru Vincent Lucas Weijl.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Penyu melancarkan gerakan memburu gol penyamaan dan rembatan Turaev Lutfulla diselamatkan penjaga gol, Ahmad Asyraaf Omar pada minit ke-27.

Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan tuan rumah dihukum anak buah Abu Bakar Fadzim sekali lagi menerusi jaringan mudah Muhd Shahrel Fikri pada minit ke-29.

Tersentak dibolosi dengan dua gol, Terengganu mula memperagakan aksi sebenar dan mereka memerlukan tujuh minit selepas itu untuk merapatkan jurang gol menerusi tandukan Federico Matias Falcone yang menyambut hantaran lintang Muhd Ferris Daniel Mat Nasir.

Terengganu kemudian mempunyai kelebihan apabila PKNP FC beraksi dengan kurang seorang pemain apabila Fadhil diperintah keluar padang namun sebaliknya berlaku apabila gawang mereka bolos buat kali ketiga apabila Ritus Krjauklis menanduk masuk sepakan penjuru pada minit ke-52.

Tujuh minit kemudian, Najakima Farran kembali menghidupkan peluang Terengganu dengan meledak gol kedua dengan melepaskan rembatan yang menerjah gawang hasil hantaran lintang Mohd Firdaus Mohd Faudzi.

Bagaimanapun kebangkitan yang diharapkan tidak menjadi apabila kesilapan Muhd Shahrin Sapien menolak bola lemah di kawasan pertahanan dirampas Weijl yang mudah menewaskan penjaga gol gantian, Muhamad Syazwan Yusof lapan minit sebelum tamat, sekali gus membolehkan PKNP pulang bergaya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/251344