IPOH: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC menyeru penyokong Perak supaya hadir memberi sokongan kepada pasukan itu menjelang pertembungan dengan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Perdana di Stadium Perak, malam ini.

“Kehadiran penyokong penting untuk perlawanan ini. Selaku pemain ke-12, mereka mampu menyemarak semangat pemain.

“Saya berharap ramai (penyokong) akan datang agar kita dapat saksikan lautan kuning. PKNP FC juga sebenarnya membawa cabaran dan bendera negeri Perak,” kata pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim.

Bakar memberi jaminan, pemainnya akan turun beraksi ke tahap maksimum untuk memburu kemenangan bagi memastikan PKNP terus kekal dalam persaingan merebut slot ke Liga Super 2018.

Setakat ini empat pasukan – Kuala Lumpur, Terengganu dan Negeri Sembilan terbabit dalam perebutan dua tempat teratas Liga Perdana yang akan layak ke Liga Super tahun hadapan.

Pada masa sama, PKNP juga menjadi wakil tunggal pasukan Liga Perdana yang masih kekal dalam saingan suku akhir Piala Malaysia.

Kelab itu hanya selangkah mencipta sejarah tersendiri untuk layak ke separuh akhir Piala Malaysia selepas memiliki kelebihan hasil kemenangan 3-1 ke atas FELDA United pada perlawanan pertama.

Bakar yakin semangat pasukan konglomerat itu cukup tinggi selepas merakam kemenangan mengejut ke atas FELDA United FC dan berharap pemain mampu mengulangi persembahan mantap itu, malam ini.

-Berita Harian