IPOH – Kerajaan Negeri Perak pimpinan Pakatan Harapan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kossan Rubber Industries Bhd berjumlah RM1.5 bilion untuk membangunkan Bandar Integrasi Sarung Tangan di Mukim Bidor, Perak.

Melalui kerjasama ini, Kossan Rubber Industries akan membangunkan tanah perindustrian milik PKNP dengan keluasan 824 ekar.

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu berkata perjanjian kerjasama ini akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dengan kemasukan para pelabur dan kilang-kilang baharu sekaligus mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan untuk penduduk kawasan sekitar.

“Adalah menjadi kebanggaan bagi kita apabila pihak Kossan Rubber Industries telah memilih daerah Batang Padang dan negeri Perak untuk membuat pelaburan terbaru mereka.

“Pelaburan yang dibuat oleh pihak Kossan Rubber Industries ini akan melibatkan sebanyak RM1.5 billion ringgit dan pihak mereka telah menyatakan kepada pihak kerajaan negeri bahawa mereka bersedia untuk memulakan kerja dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama PKNP dan Kossan Rubber Industries di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini, hari ini.

PKNP diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Mohd Ariff Yeop Ishak manakala pengeluar sarung tangan itu diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Lim Kuang Sia.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Negeri, YB Tan Kar Hing, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Gazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam Dan Kampung Baru, YB Paul Yong dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan YB Howard Lee.

Kerjasama ini amat dialukan oleh kerajaan negeri dan akan sentiasa memberi kerjasama serta memberi ruang kepada pelabur tempatan yang juga bertaraf dunia untuk menjalinkan kerjasama perniagaan dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri dan rakyat, tambah Ahmad Faizal.

Sementara itu, Lim berkata, Bidor dipilih untuk membangunkan projek berkenaan kerana beliau percaya kerajaan Perak sentiasa mengalu-alukan pelabur luar dan dalam untuk melabur ke dalam negeri itu, selain lokasinya yang strategic.

“Perak juga menggalakkan pelabur untuk melabur di dalam negeri mereka. Jika kerajaan negeri menyokong (galakkan pelabur masuk), sebab itu kami memilih untuk melabur di sini,” katanya.

Kossan Rubber Industries merupakan sebuah syarikat pembuatan sarung tangan yang ditubuhkan pada tahun 1979 dan telah disenaraikan di Bursa Malaysia sejak tahun 1996 dengan penghasilan produk 100 peratus untuk pasaran eksport melebihi 190 buah negara di seluruh dunia.