IPOH – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) perlu mengkaji semula keperluan dan model Pembangunan Semula Pekan Kecil (PSPK), demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut laporan itu, kajian semula perlu bagi memastikan komponen kedai dan gerai desa pekan kecil beroperasi sepenuhnya sehingga berjaya memberi impak kepada rakyat dalam membangunkan ekonomi masyarakat setempat.

“PKNP juga perlu mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman terhadap isu-isu yang menjurus kepada kecuaian atau elemen ketirisan dalam pengurusan peralatan kerja awalan,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga mendapati, prestasi kewangan projek PSPK oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) kurang cekap selain pelarasan harga kontrak (PHK) yang dimuktamadkan melebihi tempoh kontrak ditetapkan.

PKNP memperuntukkan RM25.53 juta bagi pembangunan semula lapan pekan kecil iaitu Ijok dan Kubu Gajah, Selama; Sauk, Kuala Kangsar; Lekir, Manjung; Simpang Lima, Parit Buntar; Slim Village, Slim; Bandariang, Gerik dan Changkat Jong, Teluk Intan.

“Kontrak asal bagi PSPK terbabit adalah RM19.49 juta. Setelah mengambil kira PHK, kos kontrak bagi PSPK di Ijok, Sauk, Kubu Gajah, Lekir dan Simpang Lima diselaraskan kepada RM12.73.

“Audit mendapati PKNP masih belum memuktamadkan PHK bagi projek yang telah siap iaitu Slim Village dan dua yang belum siap iaitu di Bandariang dan Changkat Jong,” menurut laporan itu. – Bernama