GERIK: Sebanyak 272 buah rumah di sepuluh buah kampung Orang Asli di daerah Hulu Perak menerima sumbangan kotak makanan dari Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.), pada Jumaat.

Ia bagi menyokong usaha kerajaan negeri membela nasib kumpulan sasar yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Anuar Zainal Abidin berkata, bantuan ini telah memberi manfaat kepada 304 isi rumah yang tinggal kawasan terpencil di daerah tersebut.

“Misi bantuan ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak dan Pertubuhan Mendidik Insan Cemerlang Larut Matang dan Selama Perak.

“Usaha ini bertujuan meringankan beban penduduk Orang Asli sepanjang tempoh PKP, kita turun padang dengan menaiki sampan untuk menyampaikan bantuan terus kepada penerima,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Antara kampung yang menerima bantuan itu ialah Kampung Lubuk Chupak, Kampung Sungai Karah, Kampung Ulu Gerik, Kampung Sungai Papan, Kampung Sungai Rengat dan Kampung Bukit Asu.

Mengulas lanjut,  Anuar berkata, semalam MB Inc. turut menyerahkan sumbangan RM200,000 untuk Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Kerajaan Negeri Perak kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, ia bagi menyokong usaha kerajaan negeri membantu golongan sasar dan perbelanjaan melawan penularan wabak Covid-19.