IPOH: Semua premis kedai makan, kedai serbaneka, pasaraya, stesen minyak dan kedai runcit di seluruh Perak akan diselaraskan operasi kepada 8 pagi hingga 8 malam.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, arahan itu turut meliputi perkhidmatan pandu lalu (drive-through), kedai serbaneka 24 jam, perkhidmatan penghantaran makanan dan rangkaian restoran makanan segera.

Ujarnya,ketetapan ini berkuatkuasa esok, Jumaat iaitu 3 hingga 14 April 2020 atau sehingga perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik.

Bagaimanapun, hospital swasta, klinik swasta dan farmasi adalah dikecualikan daripada arahan waktu operasi ini.

\”Susulan pelaksanaan PKP Fasa Kedua yang mula berkuatkuasa pada Rabu, 1 April 2020, kerajaan negeri ingin memaklumkan ketetapan waktu operasi bagi semua premis perniagaan dan perkhidmatan adalah diselaraskan dari 8 pagi hingga 8 malam.

\”Selain itu, para peniaga dan pengendali pengangkutan awam serta rakyat juga diminta mematuhi ketetapan seperti berikut;

\”Waktu operasi bagi pasar awam dari jam 6 pagi hingga 12 tengahari, pasar borong dari jam 4 pagi hingga 10 pagi, bengkel membaiki kenderaan/tayar dan kedai alat ganti dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

\”Perkhidmatan tunda kenderaan boleh beroperasi seperti biasa, pengangkutan awam dari 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam.

\”Waktu operasi mesin ATM di cawangan-cawangan perbankan dari 8 pagi hingga 8 malam,kenderaan persendirian hanya dibenarkan di antara jam 6 pagi sehingga 10 malam, termasuk perkhidmatan E-Hailing dan teksi.

\”Semua kenderaan persendirian hanya dibenarkan seorang sahaja iaitu pemandu kecuali waktu kecemasan,\” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya lagi, pengangkutan komersial membabitkan barangan keperluan seperti makanan dan perubatan digalakkan beroperasi dari 7 malam sehingga 7 pagi.

Tegasnya, aktiviti riadah dan sosial tidak dibenarkan di kawasan awam dan persendirian.

Ahmad Faizal berkata, kelonggaran diberi kepada golongan Autism dan Kurang Upaya (OKU) untuk mendapatkan terapi seperti dinasihatkan pakar dan ini tidak dibenarkan secara berkumpulan.

Dalam pada itu,had tempoh operasi 2 kali dalam tempoh seminggu telah ditetapkan bagi perniagaan seperti penjualan kedai input pertanian (baja/racun),kedai perkakasan dan penjualan makanan dan ubatan haiwan.

\”Kerajaan Negeri telah menubuhkan Pusat Panggilan Pengasingan (Isolation Care Centre-ICC) bagi membantu pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perak memantau pergerakan /kesihatan Patient Under Investigation (PUI) di negeri Perak.

\”Bermula di Daerah Kinta, sekaligus memutuskan penularan Covid-19 dalam komuniti. Pusat ini diketuai oleh petugas dari PDRM Perak,\” katanya