IPOH: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan kerajaan akibat penularan wabak COVID-19 ketika ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan (PAFA) dengan pelancaran stor dalam talian, PAFA Online Store baru-baru ini.

Setiausaha Kehormatnya, Mohamad Azlin Mohd Nadzri berkata, pengenalan stor dalam talian itu membolehkan peminat The Bos Gaurus di seluruh negara untuk mendapatkan barangan rasmi pasukan.

Menurutnya, barangan rasmi pasukan seperti pakaian dan cenderamata akan dijual di laman sesawang khas yang disediakan di store.peraktbg.my.

“Peminat tidak lagi perlu berasa runsing untuk mendapatkan barangan rasmi dan asli secara terus daripada pihak PAFA.

“Ini juga merupakan satu langkah yang diambil PAFA untuk memperkukuh kedudukan Perak sebagai salah satu pasukan utama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mohamad Azlin tidak menafikan bahawa PAFA sedikit terkesan dengan penularan COVID-19 yang membelenggu negara.

“Wabak ini telah mengakibatkan Liga Malaysia ditangguhkan dan sudah tentu semua pasukan terlibat turut merasai kesan, terutamanya dari sudut kewangan.

“Oleh itu, PAFA harus mengambil langkah proaktif dalam memastikan kelestarian dan kesinambungan pasukan terjaga selain terus mendekatkan pasukan dengan peminat,” ujarnya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini
mengumumkan kesemua aksi Liga Malaysia (Liga-M) 2020 akan ditunda sehingga tarikh
yang akan diumumkan, susulan penularan COVID-19.