IPOH: Kerajaan negeri Perak memutuskan untuk menerima pakai Prosedur Operasi Standard (SOP) pembukaan ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan Persekutuan, namun dengan penangguhan operasi bagi sektor tertentu.

Sektor yang terlibat dalam penangguhan operasi itu ialah yang berisiko tinggi seperti sektor makanan serta sektor sukan dan rekreasi.

Menurut Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, sektor makanan dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKPB, namun hanya dibenarkan membungkus makanan dan penghantaran.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas Bil 5 yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini, setelah meneliti semua sektor perniagaan yang dibenarkan dibuka semula berdasarkan SOP.

“Jawatankuasa amat memandang serius sektor yang berisiko tinggi terhadap penularan wabak Covid-19.

“Semua restoran, warung, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan (berbumbung/kiosk), kenderaan saji (food truck), penjaja beredar dan penjaja tepi jalan dibenarkan untuk beroperasi tetapi hanya untuk tujuan bungkus dan penghantaran.

“Makan di premis tidak dibenarkan sama sekali, selain itu Pasar Segar Terkawal tanpa premis contohnya pasar pagi juga tidak dibenarkan.

“Aktiviti riadah di taman taman rekreasi awam di negeri ini masih belum dibenarkan dalam tempoh PKP 4 ini,”katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu katanya, pejabat pejabat kerajaan di negeri Perak akan mula beroperasi mulai esok (4 Mei), dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam dalam keadaan efektif.

Ujarnya, walaupun data di negeri ini menunjukkan tiada kes baharu dilaporkan bagi tempoh 15 hari berturut-turut, namun terdapat 15 mukim dan submukim yang masih belum bebas daripada kes dalam tempoh 28 hari.

“Penguatkuasaan Akta 342 masih diteruskan dan buat masa ini pergerakan orang ramai masih tertakluk dalam tempoh antara 8 pagi hingga 8 malam.

“Strategi yang perlu dipatuhi bagi mengekang penularan wabak ini meliputi empat prinsip iaitu kawalan sempadan (rentas negeri/daerah), kawalan pergerakan, penjarakan sosial dan peralatan perlindungan seperti pemakaian penutup muka bagi yang bergejala,” katanya.