IPOH: Polis Perak telah meluluskan 17,263 permohonan pergerakan rentas negeri bermula 4 hingga 18 Mei ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), berbanding dari jumlah keseluruhan permohonan sebanyak 18,801.

 

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, baki 1,538 permohonan tersebut tidak diluluskan kerana tidak mempunyai alasan yang munasabah.

 

“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 3,243 kenderaan telah diarahkan berpatah balik dan tidak dibenarkan melakukan rentas negeri kerana tidak mempunyai kebenaran di 37 lokasi sekatan jalan raya di negeri ini.

 

“Polis Perak juga telah melakukan 44 tangkapan terhadap kesalahan-kesalahan yang melibatkan pelanggaran pematuhan PKPB,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

 

Justeru itu dia turut menasihatkan orang ramai agar tidak sesekali mengambil kesempatan merentasnegeri untuk pulang ke kampung sempena sambutan hari raya Aidilfitri.

 

Ujarnya, pihaknya telah menubuhkan pasukan ‘task force’ bagi melakukan pemantauan terhadap pematuhan PKPB oleh orang ramai.

 

“Diingatkan untuk tidak melanggar arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa, sebarang pelanggaran arahan boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

 

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi hotline PDRM Perak di taluan 05-240 1999/ 05-245 1089 atau mana-mana balai polis berdekatan.