IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membenarkan kuliah pengajian diadakan bemula hari ini di semua masjid dan surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kebenaran itu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas JAIPk melihat dengan teliti dan berbincang dengan Pejabat Mufti Perak mengenai keperluan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, kuliah pengajian itu hanya dibenar diadakan selepas solat Maghrib dengan tempoh tidak lebih 30 minit.

“Kita telah berbincang dan meneliti tentang perkara ini kerana memikirkan tempoh antara waktu solat Maghrib dan solat Isyak terlalu singkat serta menyukarkan jemaah untuk keluar masuk ke masjid dan surau.

“Guru-guru yang akan mengajar mestilah dalam kalangan mereka yang mempunyai tauliah dan bukan dari luar Perak dan lebih baik lagi jika guru tersebut merupakan ahli kariah masjid atau surau,” katanya ketika ditemubual PerakFM, hari ini.

Mohd Yusop berkata, sekiranya tiada guru yang boleh mengajar, imam masjid atau surau dibenarkan untuk memberikan tazkirah kepada jemaah.

Menurutnya, pelaksanaan kuliah pengajian itu juga perlu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, terutama penjarakan sosial di samping tidak boleh menggunakan mikrofon.

Beliau berkata, jika jemaah ingin membaca al-Quran, mereka perlu membawa sendiri dari rumah atau membaca melalui aplikasi di dalam gajet masing-masing.

Pada Rabu lalu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam kenyataannya memaklumkan semua masjid dan surau di Perak dibenarkan menerima jemaah seramai 40 orang bagi solat fardu dan solat Jumaat mulai hari ini.

Mohd Yusop menjelaskan jumlah keseluruhan jemaah termasuk ahli jawatankuasa masjid dan surau dianggarkan antara 50 hingga 52 orang.

Bagaimanapun, kata beliau, sehingga kini pihaknya belum membenarkan wanita untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid memandangkan jumlah yang masih terhad.

Jelasnya, keputusan itu bukan bermaksud mendiskriminasi wanita sebaliknya kewajipan solat berjemaah di masjid disyariatkan kepada kaum lelaki.