BAGAN SERAI – PKR Cabang Bagan Serai membuat satu laporan polis ke atas pentadbir akaun Facebook ‘Keadilan Cabang Bagan Serai’ petang semalam setelah akaun itu disalahgunakan bagi agenda memfitnah kepimpinan cabang parti itu.

Laporan polis dibuat ke atas pentadbir akaun Facebook itu pada jam 4 petang oleh beberapa wakil jawatankuasa PKR Cabang Bagan Serai di Balai Polis Bagan Serai.

Ketua PKR cabang Bagan Serai, Sharif Sarjono berkata, akaun Facebook ‘Keadilan Cabang Bagan Serai’ itu pada mulanya merupakan akaun rasmi PKR cabang itu bagi memberi informasi mengenai pergerakan parti dan calon PKR Dun Alor Pongsu, Ahmad Zaki Hussin pada PRU14 lalu.

Menurutnya, pentadbir akaun itu sebenarnya salah seorang ahli jawatankuasa PKR cabang Bagan Serai, namun mula menyalahgunakan akaun Facebook itu bagi menyerang peribadi beberapa pemimpin PKR cabang sejak sebulan lalu.

“Kepimpinan PKR cabang Bagan Serai percaya pelbagai bentuk serangan dilontarkan pentadbir akaun Facebook berkenaan disebabkan rasa tidak puas hati individu terbabit setelah tidak dilantik menjawat jawatan ahli majlis dan ketua kampung.

“Individu terbabit juga sudah menyatakan hasrat keluar dari kepimpinan PKR cabang Bagan Serai sedia ada setelah berselisih faham dengan beberapa pemimpin,” katanya kepada media di sini hari ini.

Sharif berkata, kemuncak perselisihan faham antara pentadbir akaun Facebook berkenaan dengan kepimpinan PKR cabang adalah apabila individu berkenaan mempertikaikan keputusan pelantikan seorang ahli majlis lantikan PKR cabang atas dakwaan memiliki rekod jenayah.

Menurutnya, dakwaan itu tidak tepat kerana senarai kesemua calon ahli majlis lantikan politik disaring parti dan kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum diluluskan.

“Kepimpinan PKR cabang kesal individu berkenaan cuba mengelirukan rakyat dengan menggunakan bekas akaun Facebook rasmi parti untuk melontarkan rasa tidak puas hati kepada kepimpinan cabang.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat ke atas pentadbir akaun Facebook berkenaan petang semalam dan PKR cabang Bagan Serai turut melancarkan satu akaun Facebook rasmi baharu parti iaitu ‘Parti Keadilan Rakyat (Cabang Bagan Serai) serta-merta pada hari sama.

“Kepimpinan PKR cabang turut tidak teragak-agak untuk membawa isu pentadbir akaun Facebook berkenaan kepada Jawatankuasa Disiplin dan Tindakan Tatatertib PKR Pusat sekiranya individu itu masih berterusan menfitnah kami,” katanya.

Mengenai perkembangan pemilihan PKR yang dijangka berlangsung September ini, Sharif bertegas mempertahankan jawatan Ketua PKR cabang yang disandangnya ketika ini meskipun bakal dicabar beberapa individu lain.

Menurutnya, dia bersama bekas calon PKR Dun Alor Pongsu, Ahmad Zaki Hussin akan terus bergandingan bagi mengukuhkan peluang parti itu memenangi kerusi ditandingi di Parlimen Bagan Serai pada PRU15.

“Dahulu, sewaktu kita kalah dan tidak mentadbir di peringkat negeri serta Pusat, tiada orang pun yang kepingin jawatan ketua cabang dipegang saya sekarang.

“Kini, bila Harapan sudah mentadbir kerajaan negeri dan Pusat, barulah banyak pihak hendak menuntut hak mereka kononnya bekerja untuk parti, walhal hanya beberapa kerat pemimpin sahaja yang sanggup berkorban untuk parti.

“Saya akan terus berjuang mempertahankan jawatan disandang dan bersedia membawa perubahan kepada hala tuju PKR cabang Bagan Serai pada masa depan,” katanya – sinar