IPOH : PKR Perak menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang exco kerajaan negeri daripada parti itu yang dituduh membocorkan minit mesyuarat exco kerajaan negeri.

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, pihaknya sama sekali tidak memandang ringan tuduhan membabitkan isu rasuah kerana ia jelas bercanggah dengan perjuangan reformasi parti.

Katanya, sebagai pemimpin yang dipilih rakyat, mereka perlu menjalankan amanah yang telah diberikan dengan tidak menyalahgunakan kuasa eksekutif.

“Saya berasa amat kecewa dengan tuduhan baharu yang dilemparkan terhadap seorang exco kerajaan Perak melibatkan amalan rasuah sedangkan mereka telah diingatkan untuk memelihara integriti.

“Sebagai Pengerusi PKR Perak, saya tidak akan mengambil ringan sebarang tuduhan rasuah kerana ini adalah bercanggah dengan perjuangan reformasi parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan mengenai dakwaan melibatkan exco tersebut setelah siasatan dijalankan pihak berkuasa.

“Setiap pemimpin negeri diingatkan sekali lagi agar tidak mempergunakan kuasa dan pengaruh politik mereka untuk kepentingan diri.

“Komitmen kita adalah untuk memastikan kerajaan negeri dapat berfungsi tanpa sebarang kesulitan demi kesejahteraan rakyat dan buat masa ini kita biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya.

Ahli Majlis Daerah Kerian, Beh Yong Kean, hari ini membuat laporan polis dengan mendakwa seorang exco kerajaan negeri didakwa membocorkan kertas minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan habuan daripada dua syarikat berkaitan pertanian.

 

UTUSANONLINE