KUALA LUMPUR : Kepemimpinan PKR Pusat perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada PKR Sabah mengenai kelulusan yang diberikan kepada bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak sebagai ahli parti.

Pengarah Pilihan Raya PKR Sabah, Mohd. Amin Abdul Mem berkata, pandangan PKR negeri dan cabang perlu diambil kira supaya hasrat memartabatkan kuasa autonomi negeri terus diperkasa.

Jelas beliau yang juga Ketua PKR Cabang Semporna, tindakan pimpinan parti di peringkat Pusat itu sama sekali tidak wajar dan bertentangan dengan polisi serta prinsip PKR.

“Berita yang tular mengenai spekulasi kelulusan keahlian Salleh Said yang diterima masuk dalam PKR mengejutkan pimpinan utama parti.

“Pimpinan parti selalunya tegas dan penuh berhati-hati dengan kemasukan bekas pimpinan UMNO terutama yang keluar beramai-ramai pada bulan Disember 2018,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tegas Mohd. Amin, PKR Sabah berada di landasan yang betul ingin menjuarai agenda reformasi dan politik perubahan demi kebaikan rakyat.

Kata beliau, biarpun beberapa pimpinan pembangkang melompat ke parti kerajaan, PKR sabah tetap tidak menerima atas prinsip memelihara integriti kepimpinan parti dan menghormati keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Sesungguhnya parti Reformasi ini harus mewakili denyut nadi rakyat yang dahulunya terpinggir agar terus dihormati majoriti rakyat negeri dan negara ini,” katanya.