PETALING JAYA : Anwar Ibrahim berkata, PKR tidak akan melucutkan jawatan Azmin Ali walaupun timbalannya gagal menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti tiga kali berturut-turut.

Presiden PKR itu berkata, perlembagaan parti menyatakan ahli MPP boleh dilucutkan jawatan jika tidak menghadiri mesyuarat tiga kali berturut-turut, tetapi beliau meminta ia menangguhkan hukuman terhadap pemimpin terbabit.

“Kita ambil pendekatan sederhana dan berlembut untuk beri ruang kepada kawan-kawan kita memikirkan, sebab itu kita tidak menggunakan peruntukan itu (dalam perlembagaan parti) setakat ini,” katanya selepas berucap pada Konvensyen PKR Kedah dan Perlis hari ini.

Ditanya sampai bila hukuman itu akan ditangguhkan, Anwar berkata, terpulang kepada MPP dan beliau sedia mendengar pandangan mereka.

Sementara itu, Anwar berkata, keputusan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak mahu kembali aktif dalam arena politik kerana beliau kecewa dan mengharapkan perkara positif berlaku selepas tampuk pemerintahan negara bertukar.

“Dia (Rafizi) sudah umum lama, dia banyak membantu dan saya faham, dia seperti Nurul Izzah kerana merasakan kekecewaan mereka kerana mengharapkan sesuatu yang lebih positif berlaku, kita beri masa kepada mereka.

“Kita kena bagi ruang sebab mereka tidak bagi keputusan gopoh, kena fikir, renung berbeza dengan yang lain berebut jawatan dan kekayaan.”

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun tidak menjelaskan kekecewaan Rafizi dan Izzah merujuk isu apa.

Semalam, Rafizi memaklumkan beliau tidak berhasrat kembali ke arena politik negara dalam masa terdekat, selepas dibebaskan dan dilepaskan daripada sabitan serta hukuman mengikut Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Katanya, beliau kini lebih selesa meluangkan masa bersama keluarga dan mahu kembali menjadi rakyat biasa.