SHAH ALAM: PKR tidak terancam dengan tindakan pimpinan PAS memberikan sokongan terbuka kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata beliau yakin calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan memenangi sekali gus mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis 4 Ogos depan.

“Bagi saya, calon PKR boleh menarik sokongan pengundi. (Mereka) akan beri sokongan yang diperlukan untuk kita mengekalkan kerusi (DUN Sungai Kandis),” katanya pada sidang media pada program minum petang bersama ahli PKR dan penduduk Sungai Kandis di sini, hari ini.

Pimpinan PAS malam tadi mengarahkan ahli dan penyokongnya supaya mengundi calon BN, Datuk Lokman Noor Adam pada PRK Sungai Kandis.

Ahli Majlis Syura PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, berkata ahli dan penyokong PAS perlu mengundi calon BN kerana Pakatan Harapan (PH) tidak dilihat sebagai gabungan yang menegakkan syiar Islam.

Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri juga meminta penduduk DUN Sungai Kandis supaya menjalankan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi 4 Ogos depan.

“Saya faham kita baru sahaja selesai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun penting supaya kita menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi di Sungai Kandis. Saya menggalakkan pengundi supaya keluar awal untuk mengundi pada hari itu,” katanya.

Mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa rakyat tidak berpuas hati terhadap kerajaan pimpinan PH, Dr Wan Azizah berkata, PH baru sahaja mentadbir Malaysia berbanding BN selama 61 tahun.

Sementara itu, mengulas mengenai peranan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin sebagai penasihat kerajaan walaupun selepas tempoh 100 hari, beliau berkata MPK akan terus berperanan sebagai penasihat kerajaan.

“Saya difahamkan bahawa MPK akan menasihatkan kerajaan, Perdana Menteri dan Menteri Kabinet. Kami mahukan nasihat mereka kerana Kabinet hari ini tidak mempunyai banyak pengalaman. Kami membuat keputusan ini (mendapatkan nasihat MPK) secara bersama,” katanya.