IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di lima kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Pengerusi PKR negeri, Dr Mohd Nor Manuty berkata, kesemua 19 calon yang diumumkan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk bidang profesional dan berpotensi untuk memberi cabaran kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya tidak lama lagi.

Daripada 19 calon diumumkan, tiga daripada mereka yang akan mempertahankan kerusi masing-masing adalah Dr Lee Boon Chye (Parlimen Gopeng), Tan Kar Hing (DUN Simpang Pulai) dan Chua Yee Ling (DUN Kuala Sepetang).

Antara perubahan kerusi yang ketara adalah penyandang kerusi Parlimen Kapar, G. Manivannan akan bertanding di kerusi DUN Hutan Melintang manakala penyandang kerusi Parlimen Lumut, Mohamad Imran Abd Hamid akan bertanding di kerusi DUN Bukit Chandan.

Sementara itu, penyandang DUN Hutan Melintang, S. Kesavan akan bertanding untuk kerusi Parlimen Sungai Siput yang mana akan menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara calon-calon dari BN, PAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar Devaraj (Penyandang).

Sebelum ini Jeyakumar telah bertanding di kerusi sama di bawah tiket PKR, namun pada pilihan raya kali ini beliau dijangkakan akan mempertahankan kerusi itu dibawah logo PSM sendiri.

Penyandang kerusi DUN Teja, Chang Lih Kang pula akan bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Malim sekali gus bertembung dengan Pengerusi MCA negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dari BN.

Antara calon lain diumumkan untuk kerusi Parlimen ialah Ejazi Yahaya (Padang Rengas) dan Pakhrurazi Arshad (Bagan Datuk).

Untuk kerusi DUN, calon yang dipertaruhkan adalah Nor Sham Abu Samah (Kenering), Muhd Aiman Aizuddin (Batu Kurau), Abd Yunus Jamhari (Kuala Kurau), Ahmad Zaki Husin (Alor Pongsu), Lukman Yahaya (Chenderoh), Mahdi Hassan (Lintang), Muhama Arafat Varisai (Hulu Kinta), Mohd Azlan Helmi (Tualang Sekah), Sandrea Ng Shy Ching (Teja) dan Mohamad Maharni Md Tasi (Sungai Manik).