TAIPING: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digalak menggunakan pendekatan yang lebih kreatif agar mereka dapat terus kekal berdaya saing dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan berkata, pendekatan itu termasuk dalam aspek pembuatan dan urusan perdagangan, supaya seiring dengan situasi semasa.

“Setiap tahun kita tidak pernah terkecuali daripada cabaran dalam hidup ini dan juga ekonomi global, oleh itu amat penting untuk kita semua menjadi lebih kreatif menghadapinya.

“Kita perlu kerja keras untuk tingkatkan produktiviti juga selain menjadi kreatif bagaimana nak menanganinya,” katanya ketika melawat syarikat Mercu Niaga Sdn Bhd di Kamunting, dekat sini pada Sabtu.

Beliau turut mengambil contoh pendekatan yang digunakan oleh syarikat tersebut yang menggunakan mata wang Yen dalam urusniaga dengan pembekal di Jepun.

“Ini merupakan antara pendekatan kreatif yang dimaksudkan saya, mereka beradaptasi dengan cabaran dan tidak hanya kekal statik menggunakan strategi yang sama,” ujar beliau.

Untuk tahun lepas, sejumlah RM7.33 bilion telah disalur kerajaan kepada 152 program pembangunan PKS meliputi lima bidang tumpuan iaitu pembiayaan, pembangunan sumber manusia, akses pasaran, inovasi dan teknologi serta infrastruktur.

FF Mercu Niaga Sdn Bhd yang mula beroperasi pada tahun 2012, sehingga kini telah berjaya menembusi pasaran eksport ke tujuh buah negara, antaranya Jepun dan Hong Kong dengan nilai eksport keseluruhan berjumlah RM9 juta.