IPOH: Kerajaan Negeri Perak mengingatkan para peniaga agar tidak mencabar peraturan dengan menjual makanan kepada pelanggan muslim yang tidak berpuasa.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Asmuni Awi berkata, semua pihak, khususnya peniaga Islam, perlu patuh kepada peraturan yang telah termaktub di dalam Enakmen Jenayah Syariah.

Menurutnya, tindakan jualan ‘plastik hitam’ ini satu tindakan yang biadap dan tidak menghormati kemurnian serta kesucian bulan Ramadan.

“Ada peruntukan di bawah Enakmen Jenayah Syariah yang melarang jualan makanan pada waktu siang kepada premis yang diusahakan oleh orang Islam.

“Semua pihak perlu menghormati enakmen tersebut, jangan sesekali mencabarnya hingga mencemarkan kesucian bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bazar Ramadan Silibin, di sini petang Jumaat.

Asmuni berkata, isu ‘plastik hitam’ dilakukan oleh peniaga yang tidak menghormati undang-undang walaupun telah banyak kali diingatkan.

Menurutnya, serbuan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) baru-baru ini adalah di premis yang telah sekian lama menjalankan operasi tersebut namun mereka tidak mengendahkan nasihat biarpun beberapa kali serbuan telah dilakukan.

“Kerajaan tidak menghalang untuk sesiapa berniaga, tetapi perlulah mengikut peraturan yang telah ditetapkan, terutama di bulan Ramadan.

“Misalnya, di bulan Ramadan ini mereka sepatutnya hanya membuka premis mereka di waktu petang dan tidak menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa,” ujarnya.