GEORGETOWN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengesahkan sudah mengenal pasti beberapa plot di lokasi runtuhan tanah di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, yang dipercayai mempunyai mangsa tertimbus.

Pengarahnya, Saadon Moktar, berkata beberapa plot terbabit berjaya dikesan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) yang digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) terbabit.

“Kerja mencari mangsa kini tertumpu di beberapa plot terbabit dan berharap dapat menemui mangsa yang masih tertimbus dalam runtuhan tanah.

“Setakat ini, operasi SAR tetap akan diteruskan dengan anggota akan bertugas mengikut jadual tugasan ditetapkan. Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan untuk menghentikannya seketika, sekiranya keadaan cuaca tak mengizinkan.

“Kita juga berharap semua mangsa yang masih tertimbus dapat dikeluarkan segera, walaupun terdapat kesukaran ekoran struktur tanah di lokasi kejadian,” katanya ketika menghubungi NSTP di sini, malam tadi.

Terdahulu, dua mangsa ditemui maut, masing-masing lelaki warga Indonesia dan Bangladesh, manakala seorang cedera selain 10 lagi pekerja binaan dikhuatiri masih tertimbus.

Minggu lalu, sebahagian rasuk konkrit bagi projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, runtuh apabila kren yang mengangkat kepingan plet keluli secara tidak sengaja terkena struktur terbabit, kira-kira jam 8 malam.

Projek bernilai RM545 juta itu adalah laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul, yang dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun dari jangkaan asal – berita harian