IPOH: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membayar ganti rugi RM158,961 kepada balu seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang maut dalam kemalangan di KM342.6, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah dua tahun lalu.

Hakim D. Sunita Kaur Jessy membuat keputusan itu selepas mendapati pihak PLUS selaku defendan, gagal memastikan keselamatan pengguna lebuh raya kendaliannya dan tuntutan plaintif, Hawa Liyana Hashim, 34, adalah 100 peratus munasabah.

Sunita Kaur mengarahkan syarikat pemegang konsesi lebuh raya itu membayar RM145, 961 sebagai pampasan dan RM3,000 kos pengebumian serta RM10,000 sebagai kos berkabung isteri.

Hawa Liyana yang diwakili Sukhdave Singh memfailkan saman terhadap PLUS pada Oktober 2016. Kes tersebut dibicarakan pada 22 Mei lalu dengan pihak plaintif memanggil dua saksi, manakala PLUS yang diwakili Siti Aimuni Abd Latif mengemukakan tiga saksi.

Dalam kejadian pada 29 April 2015, Imran Kamili Ahmad Naziri, 45, maut selepas motosikal Harley Davidson yang ditungganginya terbabas akibat terlanggar bongkah kayu di tengah-tengah lebuh raya tersebut.

Sementara itu, Hawa Liyana yang ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa syukur atas keputusan itu yang dianggapnya membela kematian Allahyarham dan sebagai hadiah Ramadan untuk beliau dan dua orang anaknya yang masih kecil.

“Selepas dua tahun menanti saya berpuas hati dengan keputusan mahkamah pada hari ini.

“Saya berharap, selepas ini PLUS akan lebih bertanggungjawab terhadap objek yang bertaburan di atas lebuh raya yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna,” katanya di sini.

Ketika kemalangan itu berlaku, Hawa Liyana sedang mengandung lima bulan dan anaknya itu kini berusia dua tahun.

Pasangan itu mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia 8 tahun selain dua lagi anak berusia 18 dan 16 tahun hasil perkahwinan pertama Allahyarham.