Plus Malaysia Berhad (Plus) mengumumkan penutupan semua 134 lorong tambah nilai bagi membantu melancarkan operasi di plaza-plaza tol sempena cuti umum Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidiladha.

Penutupan ini akan bermula 29 Ogos dan berakhir pada 4 September.

Pengarah Urusan Plus, Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata penutupan lorong tambah nilai adalah amat perlu bagi mengelak kesesakan akibat pengguna lebuh raya yang beratur untuk membuat transaksi tambah nilai.

“Berdasarkan pemerhatian dan kajian kami, langkah menutup sementara semua perkhidmatan lorong tambah nilai pada musim perayaan yang lalu telah berjaya mengurangkan kesesakan di plaza tol. Justeru, kami menggunakan pendekatan sama pada musim perayaan ini dan perayaan akan datang,” jelas Azman.

Sebagai alternatif, pengguna lebuh raya boleh membuat transaksi tambah nilai di 9,200 lokasi lain seperti mesin ATM, di kedai serbaneka dan stesen-stesen minyak.

Langkah sama telah diambil Plus pada musim cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Tahun Baru Cina yang lalu.

-Bernama