IPOH 23 Mei – Kedudukan menteri Kabinet ketika ini boleh berubah kerana ia bergantung sepenuhnya terhadap apa yang diputuskan oleh Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, ini kerana mereka yang memegang jawatan menteri atau timbalan menteri adalah atas lantikan bagi tempoh tertentu dan bukan kekal.

Menurutnya, sebagai ahli Kabinet mereka umpama pekerja kontrak yang perlu akur terhadap sebarang perubahan daripada kepimpinan atasan.

“Secara peribadi saya tidak kisah sekiranya tidak kekal dalam Kabinet kerana pelantikan ini adalah bagi membantu mempimpin jentera kerajaan.

“Semuanya tertakluk kepada apa-apa keputusan yang dibuat Perdana Menteri dan beliau lebih arif terhadap sebarang perancangan termasuk menilai prestasi Kabinet sedia ada,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan Pameran Pengajaran Kebudayaan Confucius di Sekolah Menengan Poi Lam di sini hari ini.

Boon Chye mengulas berhubung kenyataan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin yang mencadangkan Menteri, Menteri Besar dan Exco yang kurang menyerlah wajar meletak jawatan secara sukarela.

Menulis di blognya, Kadir berkata, tempoh setahun adalah cukup lama bagi mereka yang dilantik untuk mempelajari cara melaksanakan tugas untuk memenuhi aspirasi rakyat.

Menurut Kadir, selepas setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, kesemua yang dilantik dan memikul tanggungjawab sudah sewajarnya menilai semula kedudukan mereka.

Boon Chye menyifatkan kenyataan Kadir itu sebagai pandangan peribadi. – UTUSAN ONLINE